Sedar atau tidak kita kini dah berada dalam bulan Ramadhan. Sudah
tentu semua yang beragama Islam wajib berpuasa. Selamat menyambut
kedatangan Ramadhan Al-Mubarak buat semua yang beragama Islam. Semoga
kita semua dapat memperbanyakkan amalan kita di bulan yang mulia ini. Ni
nak kongsi ngan korang amalan sunat pada bulan puasa.
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di
dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur
bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian
kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara
sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari
& Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab
adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama
mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru
masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak),
maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang
sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau
sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud
dan At-Turmudzi)
3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak
ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka,
pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu,
apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah
berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang
yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:
“Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan
kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia
meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5. Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana
seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR
Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya
mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)
6. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat
dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui
Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan,
dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”
(HR Bukhari)
7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada
setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena
bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya.
Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah
yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca
untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama
dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan
Ramadhan.
8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan
untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti
pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun
pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat
sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya
mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah
lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan.
diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat
erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan
Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan
sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala,
kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat,
isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari &
Muslim)